Assalamualaina diucapkan kepada blog aku sendiri...hehe...masuk rumah yang lama ditinggalkan kena bagi salam macam tu...nasibla blog...yang tuannya pun lama sangat tinggal siapa suruh...yang susah aku jugak. Kata laluan sendiri pun dah tak ingat...
2011 tahun ketiga aku dengan GE. Aku masih bernafas. Alhamdulillah. Entri aku 'Ilham Malaikat atau Bisikan Syaitan" sebenarnya tercetus sejak dua tiga hari kebelakangan ni. Bila? Selalunya ketika memandu semasa perjalanan balik kerja dari Pasir Gudang ke Skudai. Aku sendiri tidak pasti, adakah ianya ilham ; selepas memandang ke langit, turun ke bumi, teringat, aku pasti mati. Dan, sekejapan sahaja, gementar yang melintas di hati aku lesap apabila datang ingatan-ingatan aku pada perkara-perkara yang aku (kononnya minat); download movie ipad2, iphone4...dan macam-macam. Aku melayan sahaja perkara-perkara tu sebab memang aku suka pun.
Pernah banyak kali aku alami, habis kerja, aku tidak terus solat Asar di tempat kerja. Alasan (Bisikan Syaitan yang aku persetujui) - (lemahnya iman aku), "Sempat je solat kat Petronas Pusat Bandar atau Lebuhraya Pasir Gudang tu..". Aku tengok jam, "Owh, awal lagi..." Dan lintasan seperti ini "Ha'ah sempat lagi la....takpa..."..Dan ketika aku melangkah menuju ke kereta, ada lintasan lain datang "Eh, kau tak tahu apa nak jadi kat kau sepanjang perjalanan ke Petronas sana tu, jalan sesak ke, kau kemalangan ke...? Datang pulak kata-kata "Mana ada....takda apa-apa kot..."
Di ketika yang lain, waktu-waktu subuh. Terbangun dari tidur, "Ah...awal lagi...kejap la". Aku pun tidak pasti, sama ada diri aku atau pun aku sendiri yang bersetuju dengan kata-kata bisikan tu....Kemudian, dalam tidur tu ada pulak mimpi yang menyenangkan...terbawa-bawa...jauh ke dalam dunia mimpi...hingga ada sesuatu di dalam mimpi tu sendiri yang menyebabkan aku tersedar dan terus bangkit untuk subuh. Masyaallah...tapi inilah realiti yang aku alami sendiri. Yang pasti, memang melekakan.
Lintasan-lintasan yang baik mungkin daripada jiwa kita yang baik dan kata-kata yang memperdayakan mungkin dari nafsu kita dan juga syaitan. Kenalah pandai-pandai benteng akal dengan iman, dek ikutkan nafsu, menyesal sendiri di kemudian hari.
Wednesday, June 15, 2011
Ilham Malaikat atau Bisikan Syaitan
Posted by Laire@Jani at 11:45 PM 0 comments
Friday, April 16, 2010
NG Magazine
Seronok? Memanglah. Apa yang seronoknya? Sebenarnya sudah lama aku cuba untuk mendapatkan majalah National Geographic. Awal-awal dahulu, ketika belajar di sekolah berasrama penuh di Ipoh, Perak, jika aku ternampak majalah NG di kedai-kedai buku atau majalah, pasti aku tidak melepaskan peluang untuk melihatnya walau sekejap. Banyak sebab yang menarik di dalam majalah NG. Paling utamanya, gambar-gambar yang dipaparkan sungguh jelas dan terperinci. Kemudian, artikel yang ditulis oleh pengarang untuk setiap gambar begitu mendalam dan melebihi apa yang dipampang oleh gambar itu sendiri. Susunan-susunan perkataan dan ayatnya begitu kreatif.
Tetapi, ya, seperti biasa tidak sempat satu artikel aku habis membacanya, terpaksalah aku meletakkannya kembali di rak. Hati mahu tetapi...mungkin ketika itu harganya agak mahal bagi aku untuk membelinya. Apakan daya...Duit biasiswa yang ada perlu digunakan untuk keperluan yang lain.
Ketika berada di U, hobi itu masih sama, masuk kedai buku atau majalah, majalah NG dibelek-belek, dibaca-baca sepintas lalu, kemudian beralih ke majalah lain. Hmmm....dalam hati, "Kenapalah majalah ni mahal sangat...kalau lima ringgit pasti aku beli". Harganya lebih kurang sama mahal dengan Reader's Digest; ~RM15.
Hari ini, dua tahun kebelakangan, sudah banyak majalah NG yang mampu aku beli. Mungkin selama ini, kedai-kedai buku atau majalah memang sudah lama pun menjual majalah-majalah seperti NG dengan harga lelong. Senaskhah dengan separuh harga atau satu naskhah berkembar dengan suku harga asal. Bergantung kepada tahun keluaran majalah NG tersebut. Syukurlah, berpeluang juga aku untuk memiliki majalah elit seperti itu, walaupun agak terkebelakang sedikit informasi yang diberikan, tetapi asalkan ianya masih relevan dengan situasi semasa hari ini. Perbezaan setengah tahun atau setahun, tidaklah begitu ketinggalan rasanya. Setiap isu yang dipaparkan, sentiasa berkembang setiap masa untuk tahun seterusnya.
Aku fikir, setiap perkara yang disiarkan di dalam majalah NG begitu berguna untuk semua peringkat usia. Aku yakin jika anak-anak remaja didedahkan dengan majalah NG, mereka akan terdedah secara positif bagi setiap aspek kehidupan di seluruh dunia; alam persekitaran, manusia, aspek ekonomi, gejala penyakit dan lain-lain. Mereka mampu untuk menjadi lebih sensitif dengan dunia persekitaran mereka secara global. Bahkan, segala informasi yang mereka dapatkan daripada majalah NG amat bagus untuk dimanfaatkan untuk pembelajaran di sekolah mereka. Hanya tinggal daya usaha mereka sendiri sahaja. Tanpa usaha dan minat, tidak ke mana. Bukankah bagus kalau hobi seperti ini boleh diperkukuhkan lagi ketika aku di awal remaja? Hmm...hal itu terpaksa aku abaikan. Apa yang penting, aku teruskan dengan apa yang aku ada dan apa yang aku lakukan sekarang ini.
Posted by Laire@Jani at 10:56 PM 0 comments
Tuesday, April 13, 2010
Baru buka buku
Hmmmm....lama amat aku tidak menjengah blog sendiri....dari Julai 2009....hendak dikatakan sibuk...tidak juga...sengaja aku biarkan 'lalang-lalang' menebal di kepala otak aku...mungkin sekarang ini masanya untuk aku kembali mencantas / meracunkan lelalang itu.....Banyak idea yang aku perapkan di minda aku. Nanti bakal aku semaikan dengan benih-benih yang lebih bernas tidak lama lagi.
Selama blog aku disepikan beberapa bulan kebelakangan ini, sebenarnya dengan beralaskan keperluan yang tidak memungkinkan aku mempunyai masa untuk tumpuan yang lebih kepada blog sendiri.
InsyaAllah perancangan bersama isteri yang disayangi, moga-moga usaha ke arah aktiviti penterjemahan bakal dilaksanakan dengan lebih intensif dan berbaloi. Sedikit-sedikit lama-lama berhasil. Amin....
Posted by Laire@Jani at 9:41 PM 0 comments
Thursday, July 16, 2009
Frasa Ini Bagus!!
Aku begitu teruja sekali membaca Hikayat Abdullah Edisi Semi Klasik oleh Hamzah Hamdani. Seperti biasa, peringkat permulaan adalah pengenalan kepada pencerita; Munsyi Abdullah Bin Abdul Kadir seorang guru bahasa dan penulis berketurunan Arab-India. Ayat seterusnya ini aku petik dari sinopsis buku.
Ramai sarjana berpendapat bahawa beliau adalah bapa kesusasteraan Melayu moden. Kritikan Abdullah yang tegas adalah terhadap sikap bangsa Melayu yang tidak menghargai bahasanya sendiri. Bahasa Melayu sebagai bahasa ibundanya dianggap tidak perlu dipelajari. Walaupun beliau berketurunan peranakan Arab-India, namun beliau gigih mempelajari bahasa Melayu di samping mempelajari bahasa Tamil, Hindustan, Arab, Cina dan Inggeris.
Terdapat banyak nasihat disampaikan melalui tulisan beliau ini. Frasa yang ingin aku catatkan ini adalah diambil dari Bab 9: Kolej Anglo:-
"Tuan, saya orang bodoh. Budak yang tidak berilmu bagaimana boleh menjadi guru, tuan? Menjadi guru itu bukannya mudah. Dia harus ada lima perkara. Pertama, ada ilmu pengetahuan. Kedua, jangan sombong dengan ilmunya. Ketiga, bersabar terhadap kesalahan dan kebodohan orang lain, serta menanggung kesusahan. Keempat, mengetahui setiap perkataan yang diajarkannya, iaitu tahu dari mana asalnya dan tahu bagaimana hendak menggunakannya. Kelima, rajin berusaha. Jika ada lima syarat ini, bolehlah dia menjadi guru."
Ungkapan ini disampaikan oleh Abdullah ketika beliau diminta oleh seorang paderi inggeris, Tuan Milne untuk mengajarkannya bahasa melayu.
Ketika membaca ungkapan ini, aku mengembalikannya kepada diri aku sendiri. Mampukah aku untuk menjadi seorang guru? Terlalu banyak yang aku tidak tahu, bagaimana mahu aku mengajar orang lain. Mampukah aku bersabar dengan kesalahan dan kebodohan orang lain? Mungkin boleh bersabar sedikit tetapi jika dengan orang yang kesalahan dan kebodohan tegar, sanggupkah aku nanti? Insyaallah, aku mampu bersabar terutama untuk membimbing dan mendidik isteri dan anak-anakku nanti.Amin.
Posted by Laire@Jani at 11:16 PM 0 comments
Wednesday, July 15, 2009
Rutin
Hmmm....alangkah seronoknya jika JES6230 aku dapat berubah secara automatik dan dapat terbang?Hebatnya rasa....he he he kekadang rutin kesesakan di jalan raya ketika pulang dari tempat kerja aku boleh membuatkan aku berimaginasi jauh. Menjadi kebiasaan, semua orang mahu sahaja cepat sampai ke rumah, bertemu isteri yang dirindui, anak-anak dan segalanya. Kan bagus kalau kenderaan kita ada keupayaan untuk terbang? Tiada lagi kesesakan. Tetapi jika semua orang pun mahukan kenderaan mereka mempunyai keupayaan terbang itu, masalah kesesakan tetap akan berlaku, di udara, malah akan lebih parah lagi jika berlaku kemalangan. Risiko kemalangan yang berganda-ganda. Jadi, cukuplah aku berimaginasi terus begitu, tidaklah aku melayan sangat rasa tertekan sepanjang kesesakan.
Posted by Laire@Jani at 9:06 PM 0 comments
Too much.
Setiap kali aku pergi dan pulang dari kerja, sentiasa ada sahaja idea terlintas di minda aku. Selalu aku terfikir 'Aku patut simpan idea ini semua, nanti boleh dijadikan topik entri di blog'. Tetapi, dengan kelamaan perjalanan pulang dan pergi ke tempat kerja, sentiasa aku tidak dapat 'membelek' semula idea-idea yang pernah melintas di fikiran aku di awal perjalanan aku. Adakah aku sengaja atau sememangnya perkara biasa yang berlaku kepada semua orang? Rasanya tidak. Aku mampu memastikan idea-idea yang pernah datang untuk kekal, cuma disebabkan minda aku sendiri yang tidak bersungguh-sungguh untuk mengekalkannya dengan mengingati dan menyimpannya di minda separa sedar aku.
Terlalu banyak perkara yang aku mampu ingat, hanya perlu tentukan yang mana perlu dan penting didahulukan. Inilah yang sepatutnya aku cuba lakukan. Pertama, ketika berada di jalan raya, seringkali aku perhatikan, ada segelintir pemandu kenderaan yang agak mementingkan diri sendiri. Ops, sebelum aku menuding jari kepada orang seperti itu, adakah aku sendiri adalah orang yang mementingkan diri sendiri? Cukuplah setakat ini, kerana aku tidak dapat menipu diri sendiri. Kekadang, aku pun melakukan kesilapan yang sama. Jadi, lupakan sahaja.
Perkara lain yang mungkin menjadi tanda tanya adalah, sampai bila bas-bas kilang, bas-bas sekolah, kenderaan berat yang mengeluarkan asap hitam akan berterusan berada di jalan raya?Bukankah Jabatan Perkhidmatan Jalan (JPJ) sudah mengeluarkan amaran bahawa kenderaan seperti itu tidak boleh berada di jalanraya sebelum melepasi ujian pembebasan asap hitam? Adakah nombor aduan 1800 yang ditayangkan disetiap kenderaan tersebut benar-benar berfungsi sebagaimana sepatutnya? Bagi aku, ianya adalah tidak berguna sama sekali. Jika ia berfungsi, sudah tentu kenderaan seperti itu tidak berada di jalan raya.
Posted by Laire@Jani at 12:15 AM 2 comments
Sunday, July 5, 2009
Menulis?
Sekian lama aku membaca dan menelaah buku-buku yang dibeli, dari buku novel, fiksyen, motivasi dan keagamaan....kekadang pernah juga aku terfikir, bagaimana mereka menulis ya? Sekarang aku pun menulis. Tetapi apa yang aku bakal tulis sudah tentunya tidak sama dengan apa yang mereka tulis. Kagum juga dengan mereka yang telah berjaya menulis pelbagai jenis buku. Terutama sekali jenis motivasi. Kebanyakan buku motivasi selalunya ditulis berdasarkan pengalaman jerit perih penulis itu sendiri mengejar dan mencari kejayaan dalam hidup mereka. Kata orang, dengan membaca dan mengikuti kejayaan orang lain mampu memotivasikan diri kita sendiri insyaAllah.
Salah satu buku yang menarik adalah tulisan Prof. Dr. Sidek Baba. Tulisan pengalaman beliau bermula zaman kanak-kanaknya hinggalah beliau berjaya sebagai seorang pendidik bertauliah. Sepanjang aku mendalami pengalaman hidupnya ketika remaja, sesekali aku sendiri mengimbas kembali, cuba menyamakan situasi persekolahannya dengan persekolahan aku dahulu. Ya, amat jauh bezanya.
Kalau beliau begitu sukar untuk menaiki bas ke sekolah dek susahnya menyediakan belanja tambang bas, aku pula jauh amat beruntung, kerana jika tidak dapat naik bas sekolah untuk ke sekolah, aku masih ada pilihan dengan mengayuh basikal tua aku untuk ke sekolah. Ini ketika aku sekolah menengah rendah. Itu pun cuma berulang alik untuk lebih kurang 7 kilometer sahaja. Jauh bezanya. Beliau pula lebih 80 batu (jika tidak silap). 80 batu, bukan kilometer.
Ketika di sekolah pula, bahasa pengajaran adalah Bahasa Melayu. Untuk semua matapelajaran kecuali Bahasa Inggeris. Beruntungnya aku dan rakan-rakan aku yang sezaman. Matapelajaran Matematik dan Sains diajar menggunakan Bahasa Melayu. Bersyukur sangat kerana aku dan rakan-rakan sudah melalui semua itu. Tetapi situasi ini tidak berlaku pada zaman Prof. Dr. Sidek Baba. Ketika beliau di menengah rendah, matapelajaran Matematik (matapelajaran yang paling sukar baginya) diajar menggunakan Bahasa Inggeris. Ketika itu dia memasuki sekolah inggeris atas nasihat rakan ayahnya yang tahu potensi diri beliau. Caci maki dan cercaan guru yang mengajar kekadang mematahkan semangat juang beliau untuk meneruskan usaha untuk belajar. Mungkin benar juga, dek kerana tidak ada asas bahasa inggeris, beliau menerima nasib sedemikian. Anak kampung, ayah hanya kerja kampung, imam surau (jika tidak silap).
Aku pula lain kisahnya. Beruntungnya aku. Seperti yang aku nyatakan, Bahasa Melayu adalah bahasa utama pengajaran dan pembelajaran. Tidak ada sebarang masalah bagi aku dan mungkin juga rakan-rakan aku yang lain. Sekolah menengah aku dulu di Sekolah Menengah Tendong, Tendong, Pasir Mas, Kelantan. Tiga tahun aku di menengah rendah di sana. Ketika di menengah rendah, sembilan matapelajaran didaftarkan untuk melayakkan aku menduduki Penilaian Menengah Rendah tahun 1996. Matapelajaran kegemaran? Matematik, Sains dan Kemahiran Hidup Bersepadu (KHB) (Pilihan Pertanian) dan tidak ketinggalan Bahasa Inggeris. Kesemua matapelajaran ini menjadi kegemaran aku mungkin kerana saling perkaitan antara satu sama lain. Matematik dan Sains berguna ketika matapelajaran KHB. Adapun bahasa inggeris pula sesuai untuk kesemuanya. Kenapa? Kerana, ketika aku di tingkatan dua, ketika itu Tingkatan 2S1 (Sains Pertanian 1), apabila tiba waktu bahasa inggeris, perasaan seronok dan takut datang serentak. Sebabnya, guru aku ketika itu Puan Cheam Poh Pang, agak garang ketika mengajar. Beliau suka memanggil muridnya untuk bercakap dalam bahasa inggeris. Tetapi bagi aku, aku anggap ianya sebagai cabaran. Aku cabar diri aku sendiri untuk bercakap dengan beliau dalam bahasa inggeris. Kesannya, sampai sekarang aku terkenang saat aku didenda Puan Cheam kerana tersilap menjawab soalannya dalam bahasa inggeris. Hingga kini, impak positif nampak sehingga seluruh perjalanan kerjaya aku.
Aku pula dari mana datangnya asas bahasa inggeris aku? Aku sendiri tidak sedar. Terima kasih kepada mek (ibu aku) kerana begitu banyak memberi dorongan untuk aku terus belajar dan belajar. Kerana itulah (insyaallah) aku diberikan Allah keinginan untuk belajar dan menggunakan bahasa inggeris. Belajar sendiri, ingin tahu sendiri. Ianya bermula melalui menonton siri kartun di televisyen. Seronok memang seronok menonton siri kartun. Memang lumrah seorang budak seperti aku ketika itu, aku menonton kartun. Apabila masuk alam menengah rendah pun aku masih dengan kegemaran menonton kartun. Tetapi, satu kelainan yang aku lakukan adalah, jika aku sempat 'menangkap' satu perkataan bahasa inggeris yang aku tidak pernah dengar, aku akan 'simpan' dulu dalam ingatan aku untuk semakan kemudian. Maksud aku selepas siri kartun tersebut habis. Selepas itu, kerja aku adalah membelek kamus. Ya, kamuslah alat utama penterjemah bahasa yang sangat berguna bagi aku. Ini berlaku kerana sifat ingin tahu untuk diri aku sendiri. Apabila aku tahu makna perkataan tersebut, seperti ada rasa gembira dan seronok untuk menonton lagi. Mungkin bagi orang lain, lain caranya. Terpulanglah. Untuk matapelajaran Sains, sesekali ketika guru mengajar, ada juga masanya guru aku memang terpaksa menggunakan perkataan bahasa inggeris bagi terma yang spesifik. Bagi aku tidak menjadi masalah. Seperti yang aku katakan, dengan rasa suka hati sendiri, aku cuba 'menyusahkan' diri untuk mengetahui terma tersebut dalam bahasa inggeris. Pertanyaan 'Kalau bahasa inggeris, perkataan ini bunyinya macam mana?'. Begitulah dengan sifat ingin tahu aku. Berkawan dengan kamuslah kerja aku.
Kadang-kadang ada juga yang menjeling. Ada juga mulut yang mengata. Sudah hafal satu kamus ke? He he he....tidak pernah rasa malu dan terkesan pun dengan semua itu. Yang penting aku dapat apa yang aku cari. Tidak salah apa pun. Apa yang penting kita tahu apa yang kita mahu dan apa yang kita cari. Jika matapelajaran bahasa inggeris pula, waktu diberikan tugasan mengarang esei, terasa amat berat. Tetapi aku memang dipaksa untuk menyiapkannya. Dengan keterpaksaan, mampu juga aku menulis esei bahasa inggeris.Boleh kira okey sahajalah.Semuanya datang dari dalam diri aku sendiri. Jika aku hendak berjaya kenalah aku berusaha. Itu sahaja caranya. Jika aku tidak membuka kamus, sampai bila pun aku tidak akan memahami bahasa inggeris.
Posted by Laire@Jani at 8:48 PM 1 comments